Tuesday, 10 September 2013

Thailand lancar perang psikologi

THAILAND mula melancarkan perang psikologi menjelang pertemuan menentang Harimau Muda pada kempen Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok.

Selepas kejayaan membenam Singapura 1-0 semalam, Thailand kini mencongak peluang untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata ketika berdepan dengan skuad kendalian Ong Kim Swee itu.

Jurulatih Thailand, Kairung Threejagsang berkata, satu mata sudah memadai buat anak-anak buahnya untuk me ngesahkan tiket ke final pada kempen kali ini.

“Kami mahu berjumpa Malaysia di final tetapi kami terlebih dahulu akan bertemu Malaysia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Rabu ini (esok).

“Dalam aksi itu nanti, saya akan menimbangkan keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama.

“Walaupun hanya memburu satu mata untuk layak ke final, tetapi kami tetap akan bermain seperti biasa,” kata Threejagsang pada sidang akhbar selepas aksi menentang Singapura semalam.

Biarpun berjanji akan menurunkan barisan terkuat ketika menentang Harimau Muda esok, Threejagsang terpaksa melupakan khidmat kapten, Mahamasabri Awaebuesa.

Awaebuesa tidak akan beraksi pada perlawanan itu kerana menjalani penggantungan selepas mengutip dua kad kuning.

Mengulas aksi menentang Singapura, Threejagsang berkata, beliau kagum dengan prestasi anak-anak buahnya walaupun sekadar jaringan tunggal Pakorn Parmpak pada minit ke-34.

“Para pemain mengikut panduan taktik yang diberi dan beraksi dengan amat baik sekali. Sebab itu kami memang.

“Kami sepatutnya menambah lebih banyak jaringan jika pemain dapat menyudahkan peluang yang terhidang,” katanya.

Menurutnya, Thailand memperlahankan sedikit corak permainan berbanding ketika mereka seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan Sabtu lalu.

“Jika dilihat aksi menentang Myanmar sebelum ini, saya menggunakan taktik yang berbeza ketika menentang Singapura.

“Jadi pada pertemuan dengan Malaysia nanti, saya akan merangka strategi baharu bagi memastikan kami tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya.

Gambar : PARMPAK (kiri) bersaing dengan pertahanan Singapura, Reeduan Pi pada saingan Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.



No comments: