Monday, 29 July 2013

Sempat ajar suami mengucap

SARIAH di sisi mayat suaminya, Zakaria yang maut dalam kemalangan di Telok Kemang.
Port Dickson: Perjalanan sepasang suami isteri untuk membeli barangan keperluan menyambut Ramadan berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Teluk Temang berdepan Sekolah Agama Rakyat Awaludin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, penunggang motosikal, Zakaria Tamin, 66, maut di tempat kejadian manakala isterinya yang juga pembonceng, Sariah Kantan, 58, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar. 

Sariah berkata, dia bersama suami dalam perjalanan ke Teluk Kemang dari rumah mereka di Kampung Sungai Raya, di sini, untuk membeli barangan keperluan bagi menyambut Ramadan. 

“Motosikal ditunggang suami bergesel dengan sebuah lagi motosikal, menyebabkan suami hilang kawalan dan terjatuh.

“Saya menyaksikan suami meninggal di depan mata dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Katanya, dia tidak menyangka ajakan suaminya untuk pergi membeli barang adalah petanda dia akan kehilangan ketua keluarga itu.

“Sedih dan sayu melihat suami meninggal dunia di depan mata, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi. Lebih-lebih lagi suami pergi ketika umat Islam bakal menyambut Ramadan minggu depan,” katanya. 

Jurucakap polis berkata, hasil siasatan awal mendapati, motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang Zakaria dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha dari arah sama. 

“Geselan itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh, menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala isterinya cedera ringan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Raya.

No comments: